Cerpen::~~Cinta Si Dera Lela~~


Cinta Si Dera Lela –Huny NiCah

HAKIMI merungut-rungut perlahan di tempat duduk belakang. Seawal jam 6.00 pagi lagi, dia dikejutkan dengan ketukan bertalu-talu di muka pintu biliknya. Mamanya, Datin Noraini bagai murai tercabut bulu ketiak membebel-bebel apabila dia mengambil masa selama setengan jam untuk membuka pintu dari ketukan pertama dimulakan. Menyampah.
        Pemandangan di luar, dipandang namun tiada satu yang mencuit hatinya. Sah ke mencuit, menjentik pun tidak! Dia melihat jam tangan Rolex miliknya sekali lagi. Sudah menghampiri 7.17 pagi. Dia mengeluh berat, rasa malas menyentak-nyentak fikirannya kala ini.
      “Pak Man, hantar je Kimi kat sini. Nanti pandai-pandai lah Kimi jalan kaki pergi sekolah.” Hakimi mengutarakan cadangan, namun pemandu Dato’ Hasyim itu hanya tersenyum. Dia tahu taktik anak muda itu. Jika tidak dihantarnya terus di depan muka pintu pasti anak muda itu akan pergi meninggalkan sekolahnya atau lebih tepat lagi, ponteng!
      “Pak Man dengar tak ni?” Hakimi mendengus. Jika boleh dipusing kepala Pak Man ketika ini, maka akan dipulasnya agar kepala itu menghadap mukanya. Namun itu mustahil, jika dia memulas kepala Pak Man, buatnya mati orang tua tu tak ke naya namanya. Tak pasal-pasal dari sekolah biasa, dia terus di hantar ke sekolah juvana. Itu boleh tahan lagi, buatnya dapat cikgu macam Cikgu Raja dalam drama JUVANA lagi naya, jawabnya.
      “Maaf Tuan Muda, tapi Datin pesan supaya hantar Tuan Muda depan pintu pagar sekolah. Katanya, takut Tuan muda ponteng lagi macam dulu-dulu..” Pak Man tersengih umpama lala busuk. Wajah Hakimi dijeling sekilas melalui cermin pandang belakang. Hakimi mencebik.
     “Ikut la sangat cakap mama tu. Mengongkong sangat.” Hakimi bersandar. Dari jarak dekat, dia melihat papan tanda SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN MEGAH JAYA. Hakimi menegakkan badannya, meninjau-ninjau sambil tersenyum.
     “Cewahh, Megah Jaya gitu namanya. Megah sungguh la kot sekolah ni.” Hakimi tertawa kecil. Ketika Pak Man mahu membukakan pintu untuknya, cepat-cepat dia menegah.
     “Pak Man...Pak Man..Pak Man...Tak macho orang lelaki kalau ada orang lain tolong bukakan pintu untuk dia. Pak Man, setuju dengan saya, kan?” Hakimi membuka pintu sambil tersenyum penuh bergaya. Baru sahaja dia menjejakkan kaki ke kaki lima sekolah, hidungnya bergerak-gerak. Berbau sesuatu yang mengenyat lubang hidungnya.
      “Emmm,bau apa ni? Busuk betul la... Pak Man ada bau tak?” Pak Man mengangguk-anggukkan kepalanya. Tiba-tiba, dia memandang ke bawah tempat Hakimi sedang berdiri. Dia mengamati benda hitam yang terdampar di situ. Rupanya sekali tengok macam sushi, sekali tengok lagi ada rupa keropok lekor. Pantas dia bersuara.
       “Ooo, agaknya bau tu datang dari sushi tu kot. Agaknya dah lama sangat sushi tu kat situ..” Pak Man mengunjukkan jarinya sambil wajahnya serius. Hakimi melihat apa yang ditunjuk. Matanya terbuntang luas. Serasa ketika itu juga dia mahu menjerit.
       “Alahai....Pak Man, tu bukan sushi...” Hakimi menggosokkan tapak kasutnya di lantai berkali-kali. “Ini kalau Pak Man nak tahu, namanya taik kucing..” Dia menjerit kecil. Matanya memandang pelajar-pelajar yang mula berlari-lari masuk ke arah pintu pagar sekolah. Sekali lagi dia mengerling jam di tangan , 7.24 pagi!
        “Ooo, ye ke? Mati-mati Pak Man ingat sushi, pastu tenung sekali lagi ada rupa keropok lekor pulak, kan?” Dia tergelak santai. Tidak langsung dilihat wajah Hakimi yang kemerahan menahan rasa hati. Jika Pak Man itu lebih muda daripadanya pasti sudah di’smackdown’ orang tua itu. Namun cepat-cepat dia menggeleng. Sekali lagi bayangan Cikgu Raja muncul di kepalanya.
       “Kimi taknak ke sekolah la Pak Man. Malu.” Lantas Hakimi masuk semula ke dalam kereta. Pak Man mengeluh. Tangannya menarik tangan Hakimi.
      “Tak boleh macam tu, nanti tau dek Datin teruk Pak Man kena..” Hakimi mendengus. Eh, Pak Man ni tarik-tarik tangan Orang, ingat ni pertandingan tarik-tarik tali ke?
      “Habis, kasut Kimi dah busuk ni. Takkan nak masuk sekolah jugak?” Dia menunjukkan ke arah tapak kasutnya. Dia sendiri loya dengan bau busuk itu. Masakan orang lain boleh tahan? Dia melihat Pak Man yang tersengih lagi. “Pak Man tak bau ke?” Dia bertanya.
      “Sebenarnya Pak Man selsema, jadi takde bau, ha ha ha...” Orang tua itu ketawa galak. Hakimi menyabarkan hatinya dari memberi backhand. Dia mengucap panjang, austagfirullah....
      “Hishhh, habis Kimi kena pergi jugak la ni?” Hakimi cuba berdolak-dalih. Dia merenung jamnya, lagi satu minit, maka pintu pagar akan di tutup. Kelihatan beberapa orang pelajar berlari bagai di kejar gajah ke arah pintu. Pak Man turut menjenguk ke arah yang sama.
      “Dah, jom kita takde masa lagi ni. Pintu dah nak tutup.” Hakimi terdorong ke depan bila Pak Man dengan lagak berani mati menarik tangannya ke arah pintu pagar sekolah. Gedebuk!! Semua mata memandang ke arah pintu pagar. Tiba-tiba ketawa semua orang yang berada di situ pecah. Hakimi membuka mata. Dilihat Pak Man sedang melambai-lambaikan tangannya.
     “Hah, ni kenapa pulak? Buat acara lompat jauh bersilih ganti ke?” Tegur satu suara di hadapannya. Hakimi memandang seorang lelaki berseragam sukan. Perlahan-lahan dia bangkit. Wajahnya di’selamba’kan agar peristiwa dia terjatuh akibat ditolak Pak Man tidak dihebah-hebahkan di laman gosip sekolah.
      “Saya murid baru di sini.” Hakimi bersuara mendatar.
     “Jadi? Ada saya kisah? Yang saya tahu di sekolah ni cuma ada satu peraturan yang khusus bagi saya iaitu semua pelajar jangan sesekali lewat bila datang ke sekolah.” Lelaki itu bersuara tegas, Hakimi mengerutkan dahinya. Selama dia bersekolah, belum pernah dia mendengar seorang guru akan berkata sebegitu. Wa, ini sudah bagus, bisik hati kecilnya.
      “Oh ya ke? Kalau macam tu sorry..” Hakimi tersenyum, mahu melangkah pergi. Namun beg sandangnya ditarik dari arah belakang, membuatkan dia terjatuh kerana tidak dapat mengimbangkan badannya. Dia memandang ke atas, tepat ke arah lelaki berpakaian seragam sukan itu. Rambut yang terjuntai di dahi, ditiup dengan hati yang panas. Ini sudah lebih...
      “Kenapa tak puas hati? Kamu nak ke mana? Lepaskan diri macam  tu aje? Kamu ingat senang nak lepaskan diri dari Zul Tan?” Lelaki itu ketawa garau, sama seperti watak jahat yang selalu di lihat di dalam televisyen. Pelajar-pelajar lain yang berada di situ, menelan air liur melihat tingkah guru disiplin mereka.
       “Zul Tan?” Dia mengerutkan dahi, pelik mendengar nama itu. Bibirnya tiba-tiba tersenyum kecil, cuba memikirkan nama panjang bagi lelaki itu. Seketika dia bagaikan terlupa dengan pemangsa yang masih lagi berdiri tegak di hadapannya.
       “Lela....” Suara nyaring Cikgu Zul menjerit membuatkan Hakimi tersedar. Telinganya dikorek-korek sedikit, bimbang ada taik telinga yang cair penangan dari laungan umpama Tarzan kehilangan anak itu.
        “Ya, cikgu?” Suara lembut menjawab membuatkan Hakimi menelan air liurnya sendiri. Perlahan-lahan, dia berpaling. Dup-Dap!
        “Macam biasa, tugas kamu..” Cikgu Zul melangkah meninggalkan mereka yang masih lagi berdiri di hadapan pintu pagar itu. Sengihannya panjang, membiarkan Laila a.k.a Lela menjalankan tugasnya. Selama dia bertugas sebagai guru disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan Megah Jaya, tidak kira pelajar lama  atau pelajar baru denda jika datang ke sekolah lambat mesti dijalankan. Itu prinsipnya!
        “Yie, Adi, Nas, Kamil, Emil, Taha, Jering, Rimy....” Laila menyebut satu per satu, nama mereka yang berdiri di hadapannya. Ya, dia sudah terbiasa dengan mereka ini. Dia kemudian memandang pelajar lelaki yang berambut panjang mencecah tengkuk, berwajah agak pan-asian, mempunyai sepasang mata kuyu (agak comel), hidung mancung, 2 ulas bibir yang kemerahan. Laila mengeleng-gelengkan kepalanya, terlalu jauh dia berkhayal!
       “Kawan baru korang ke?” 8 sekawan itu pantas menggeleng.
       “Kimi..” Hakimi memberitahu namanya apabila melihat kesemua mata sedang merenungnya. Berdebar-debar pula, melihat sepasang mata galak gadis itu. Dia kemudian berdehem, membetulkan suaranya. Dia menghulurkan tangannya. “Awak?”
       Laila tersenyum, kemudian bertukar menjadi ketawa kecil. Termangu Hakimi seketika melihat perubahan karekter Laila. Umpama psiko!
       “Aku Laila. Tapi kat sini, mereka kenal aku dengan nama....” Laila berjeda. Dia memandang 8 sekawan itu semula.
       “De...dera Lela...” Tergagap-gagap Adi menjawab. Dia menunduk, berpeluh-peluh dahinya.
       “Dera Lela?” Hakimi menyoal. Masih mahu bertanya, namun suara Laila memberikan arahan membuatkan dia tercengang sekali lagi.
       “Hari ni aku rasa baik sikit. So, aku denda round padang aje, pusing 8 kali...” Kuat gadis itu menjerit.
       “Alah, Laila...”
      “10 Pusingan...” Laila menjegilkan matanya.
      “Apa hal pulak makin ditambah ni?” Emil yang sedari tadi berdiam diri mula bertanya. Wajahnya dikerut tanda tidak puas hati.
      “12 pusingan...” Makin kuat Laila bersuara. Jering menepuk dahinya perlahan. Mati!
      “Haaa, awak...” Belum sempat Hakimi bersuara, mulutnya ditutup kemas oleh tangan Kamil. Taha dan Yie sudah membulatkan mata, memberi amaran keras kepada Hakimi agar jangan sesekali bersuara lagi.
       “Ok, Laila. 12 pusingan, kami setuju. Dengan syarat, nama kami tak akan disebut dalam perhimpunan  nanti.” Nas, jejaka berkaca mata akhirnya bersuara. Rakan-rakannya yang lain mengangguk setuju. Kamil yang masih lagi menekup mulut Hakimi, turut menggerakkan kepala jejaka itu tanpa rasa bersalah.
       “Bagus. Permintaan korang tu tengoklah dulu. Kalau korang belanja aku makan hari ni, aku akan pertimbangkan.” Laila tersenyum sinis. Dia mula melangkah. “Mula sekarang!”
        Mendengar sahaja arahan Laila, sepantas kilat 8 sekawan itu mula berlari-lari anak mengelilingi padang sekolah mereka. Itulah salah satu denda yang bakal dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi disiplin ketat Cikgu Zul. Dan pembantunya si Laila, tidak akan tergak-agak menjalankan tugasnya. Memang beretika!
       “Tunggu apa lagi? Ikut diaorang sekarang..” Marah Laila apabila melihat Hakimi masih lagi berdiri memerhati. Seolah baru tersedar dari mimpi, Hakimi mengangguk. Tanpa membuang masa dia berlari kecil menyaingi langkah Nas, yang agak belakang sekali.
       “Nama kau apa tadi?” Nas menyoal apabila Hakimi sudah berada di tepinya.
       “Kimi, Hakimi. Kau?” Hakimi mengunjukkan tangan. Salamnya bersambut.
       “Aku Nas.” Senyuman kecil terbit di bibir jejaka itu.
       “Aku Ayie. Ni Adi, Rimy, Taha, yang tu pulak Jering. Yang tak berapa hendsome ni Emil, adik kembar aku...” Ayie memperkenalkan mereka yang lain sambil melambaikan tangan. Hakimi melirik pula pandangan matanya ke arah jejaka tinggi yang sudah berlari mendahului mereka yang lain. Nas yang memahami kerlingan Hakimi, pantas bersuara.
       “Yang tutup mulut kau tadi tu nama dia Kamil. Dia tu memang perangai lain sikit, tak banyak cakap. Kami ni ajelah kawan dia sejak kecil. So, kau tak payah amik hati la.” Emil mengangguk pantas.
       “Jangan buat dia marah, tak teragak-agak dia belasah kau nanti.” Taha bersuara perlahan. yang lain hanya tersengih kecil. Hakimi tersenyum.
       “Tadi tu siapa?” Hakimi bertanya lagi. Dia berpaling ke belakang, mahu meligat gerangan gadis garang itu, namun hampa gadis itu sudah tiada.
       “Dia tu chipsmore. Sekejap ada, sekejap tak ada.” Jering bersuara, dia turut berpaling ke belakang. “Tapi kau jangan terkejut sebab dia boleh berada di mana-mana saja, tengok macam tadi la waktu tengah elok Cikgu Zul Tan tu tengah membebel, panggil aje nama dia tup-tup dia muncul. Bela hantu raya gamaknya.” Jering mengutuk seketika. Sekali lagi senyuman sumbing muncul di bibir teman-temannya.
        “Dia...”
        “Laila Adriana. Tapi kat sini semua kenal dia dengan nama Dera Lela. Sebab dia memang suka mendera, terutamanya kami berlapan ni la. Selalu jadi mangsa dia.” Rimy pula mencelah. Mereka mula memperlahankan rentak apabila melihat Kamil yang berada di hadapan mula berjalan.
       “Cikgu Zul T...” Belum sempat Hakimi bertanya, sepantas kilat Rimy menyambung.
       “Haaa, tu sorang lagi yang tak pernah puas hati dengan kitaorang. Cikgu Zul Tan a.k.a Cikgu Zulkifli Setan...” Gelak mula kedengaran apabila Rimy menyebut nama guru disiplin itu. Kamil berpaling, tepat memandang Hakimi membuatkan hatinya berdetak kencang tiba-tiba. Lebih laju ketika dia berlari tadi.
      “Kau pindah ke sini kenapa?” Suara Kamil mula menyoal. Sengaja dia berhenti mahu berjalan bersama teman-temannya.
      “Sebenarnya, ayah aku baru pindah ke sini. So, aku pun ikut sekali la...” Lapan sekawan itu mengangguk perlahan. Kamil meletak tangannya ke atas bahu Hakimi.
      “Kau bernasib baik sebab Lela cuma bagi kita denda pusing padang aje hari ni. Selalunya memang lagi teruk kami kena, kadang-kadang sampai tak boleh nak berdiri bila dia dah gila dengan denda dia.” Kamil bersuara lagi. Rakan-rakannya cuma mengangguk.
      “Dia tu anak buah Cikgu Zul. So, aku rasa genetik famili la kot dia jadi macam tu.” Emil bersuara membuatkan yang lain tertawa gamat. Hakimi turut tidak ketinggalan. Bermacam-macam cerita yang diberitahu kepadanya tentang sekolah barunya. Selesai sahaja membuat 12 pusingan mengelilingi padang sekolah, Hakimi yang sudah berpeluh lebat terus meminta diri untuk ke pejabat melaporkan diri. Sambil berjalan meninggalkan teman-teman barunya, dia tersenyum. Kepalanya ligat berfikir, fikiran jahatnya mula menyinggah.
       “Siap kau Dera Lela...Kau belum kenal lagi siapa Kimi nampaknya...” Sambil bersiul-siul kecil, dia bergegas ke pejabat!
------------------------------------------------------------
“HARI pertama pun dah buat hal?” Soalan pedas itu hanya membuatkan Hakimi terdiam. Dia meneliti tag nama kerani yang berada di hadapannya. Rosnani! Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia menjawab,namun disabarkan hati buat sementara waktu.
“Kamu anak ASP Dato’ Hisyam, ya?” Tegur satu suara di belakangnya membuatkan Hakimi pantas berkalih. Seorang lelaki hampir sebaya papanya, dengan rambut yang sudah mula beruban, berkaca mata tersenyum memandangnya. Hakimi bangkit, terus dihulur tangan bersalam mesra.
“Ya, saya. Pakcik siapa?” Hakimi bertanya. Kak Nani yang sedari tadi menulis maklumat dirinya di dalam sebuah buku, bangkit pantas.
“Kau panggil pengetua kita, pakcik?” Hakimi batuk kecil. Dia menggaru kepalanya, menutup malu.
“Pengetua, maaflah saya tak tahu.” Lelaki itu hanya tersenyum.
“Tak apa lah. Hakimi, kan? Dah besar kamu ya. Dulu pakcik tengok kamu masa kamu kecil lagi, sekarang dah makin segak. Pak cik, Haji Bashir. Pak cik ada kerja sikit ni, nanti kirim salam pada mama dengan papa kamu, ajak mereka datang rumah sekali.” Hakimi mengangguk  sambil bersalam sekali lagi.
“Insya-Allah, Pengetua.” Haji Bashir tersenyum. Hatinya berlagu gembira kerana dapat berjumpa dengan anak muda ini. Sudah lebih sebulan, dia menunggu kedatangan jejaka ini. Amanat yang disampaikan oleh temannya, Hasyim mesti disempurnakan.
“Laila..” Panggil Haji Bashir apabila melihat gadis itu berjalan di luar pejabat. Hakimi turut sama memandang, dia tersenyum lagi bila melihat gadis itu hanya bersahaja mendekati mereka.
“Tolong tunjukkan Hakimi kelas Tingkatan 6 Atas Ekonomi 1.” Laila mengangguk, akur!
“Baik, Tuan Haji. Jom ,Hakimi.” Ajak Laila, seolah-olah mereka sudah berkenalan lamanya. Dan seolah-olah tidak ada langsung sengketa antara mereka, atau sejelasnya mereka tidak pernah mempunyai sengketa!
“Kau...” Laila mengangkat jari telunjuknya ke mulut. Dia memandang wajah Hakimi yang berada di belakangnya.
“Aku tak nak bercakap dengan kau sebab aku tak kenal kau. Kalau bukan sebab Tuan Haji yang suruh aku tunjukkan kelas kau, memang aku pun tak hingin. Faham?” Laila bersuara keras. Hakimi mencebik, sepanjang perjalanan dia hanya mendiamkan diri. Sesekali bila melintasi kelas-kelas sepanjang balkoni menuju ke kelasnya, beberapa orang pelajar lelaki bersiul-siul kecil. Hakimi hanya tergelak. Orang seperti Laila pun mereka hendak mengurat? Buang tabiat!
“Ini kelas kau.” Hakimi mendongak memandang Laila yang sudah melangkah masuk ke dalam kelas. Dia mengeluh perlahan apabila melihat Laila duduk di salah satu tempat di dalam kelas itu.
“Sekelas dengan aku rupanya, nampak macam eksyen sangat.” Hakimi melangkah masuk.
“Kimi, sini..” Satu suara memanggil. Pantas dia berkalih ke belakang, Nas sudah tersenyum sambil melambai tangan. Adi dan Emil juga turut sama melambai. Hanya Kamil yang masih lagi bersahaja menyambut kedatangannya.
“Sekelas rupanya kita..” Ayie menepuk bahu Hakimi mesra. Hakimi mengambil tempat di sebelah Jering yang sedang nyenyak tidur. Taha tersengih, menangkat bahu sudah terbiasa dengan telatah Jering. Perbualan mereka terencat apabila Cikgu Musliha masuk ke dalam kelas, dan sepanjang kelas berlangsung pandangan Hakimi hanya kepada Laila. Dia bertekad mahu melakukan sesuatu kepada gadis itu!
----------------------------------------------------------------------------------
“SO, how’s your first day my son? Dah dapat awek?” Dato’ Hasyim duduk berhadapan dengan anak bujangnya. Datin Noraini tergelak mendengar kata-kata suaminya. Hakimi mencebikkan bibir.
“Couple just make trouble, papa. Tak payah susah-susah nak fikir untuk sesuatu yang tak penting. Lagipun, budak perempuan dekat sekolah tu sombong.” Hakimi tergelak kecil apabila melihat papanya tersengih.
“Hari ni tak bergaduh?” Farthia, kakak sulung Hakimi mencelah.
“Kenapa? Kalau Kimi bergaduh, susah dekat Along ke? Bukannya Along yang kena menghadap muka Pengetua kalau Kimi buat salah,kena tindakan disiplin.” Hakimi menjawab malas. Marahnya mula membuak, bila melihat cebikan sinis di bibir Farthia.
“Memanglah, tapi dalam famili kita yang bermasalah kau sorang aje. Yang suka sangat buat masalah pun kau jugak. Yang tak faham bahasa pun jatuh pada kau jugak. Dah lupa ke, tahun lepas berapa kali kau kena tukar sekolah sebab perangai samseng kau tu? Mentang-mentanglah papa ni polis, kau ingat kau lepas la.” Hakimi bangun, genggaman tangannya dikepal.
“Yang Along sibuk sangat ni kenapa?” Dato’ Hasyim bangkit menyoal.
“Sebab mama dan papa manjakan dia sangat la, sebab tu dia jadi manja sangat. Papa kena sedar tu.” Pantas dia melangkah naik ke biliknya. Puas hati apabila melihat reaksi Hakimi yang sudah mengamuk sakan. Sejak kecil, hubungan mereka tidak pernah baik. Ada sahaja modal yang mahu digaduhkan. Dan selalunya dia yang akan dimarahi oleh papa atau mama. Hakikat itulah yang terpaksa diterima, Hakimi mungkin anak yang nakal tapi dia juga anak kesayangan mama dan papa.
“Sudahlah tu Kimi, Along tu memang macam tu. Jangan nak amik hati sangat.” Pujuk Datin Noraini, mengusap belakang anaknya perlahan-lahan. Dato’ Hasyim mengeluh berat.
“Betul cakap Along tu, Kimi ni hanya pandai buat masalah. Sejak dari dulu lagi, tapi Kimi dah menyesal. Tak boleh ke Along maafkan Kimi? Susah sangat ke?” Hakimi meluahkan rasa. Dia merenung wajah Datin Noraini sambil tersenyum lemah.
“Hemmm, bagi Along sedikit masa lagi. Nanti sejuklah hati dia.” Pujuk Datin Noraini lagi. Anak bujangnya mengangguk sahaja. Terharu sungguh bila melihat sikap kasih papa dan mamanya yang tidak pernah lelah mendidik dia selama ini. Bukan sekali dia melakukan kesilapan, namun dia tetap dimaafkan.
“Oh, ya. Papa kenal dengan Pengetua sekolah Kimi tu, ya?” Hakimi tiba-tiba teringatkan sesuatu. Dato’ Hasyim tersentak.
“Em, Haji Bashir ke?” Hakimi mengangguk seraya tersenyum.
“Pengetua kirim salam, dia ada ajak datang rumah dia. Rapat sangat ke papa dengan Pengetua tu, sampai dia kenal dengan Kimi?” Dato’ Hasyim tersenyum. Itulah satu-satunya sahabat di waktu susah dan di waktu senang.
“Dah lama papa kenal dengan Tuan Haji. Memanglah dia kenal dengan kamu, cuma kamu aje yang tak ingat dengan dia.” Hakimi tersengih. Sudah beberapa kali dia menguap, melihat perlakuannya pantas Datin Noraini menyuruh dia masuk berehat. Selepas dia mencium pipi papa dan mama, dia melangkah ke bilik. Di mindanya sudah terbayang rancangan yang bakal diatur untuk aktivitinya esok dan hari seterusnya.
---------------------------------------------------------------------
SUDAH sebulan dia bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Megah Jaya. Dan kesimpulannya sudah sebulan juga dia melakukan aktiviti yang sama. Datang lambat ke sekolah dan di denda oleh si manis Laila. dia bersama 8 orang temannya selalu membuat hal di sekolah itu, namun yang peliknya mereka tidak pernah menjadi buruan guru-guru di sini. Sudah banyak kali dia bertanya kepada Nas, namun jawapan yang diterima tetap sama.
“Bila kita buat hal, itu maknanya kita wujud. Kalau tak ada kes kat sekolah ni maknanya kita tak datang kelas.” Sudahnya dia sendiri yang keletihan bertanya. Maka disenyapkan sahaja dari terus dihimpit perasaan ingin tahu.
“Mengkarung mana yang letak bunga ni bawah meja aku?” Suara pekikan Laila membuatkan seisi kelas senyap secara tiba-tiba. Wajah merah gadis itu, membuatkan mereka semua menelan air liur. Masuk hari ni sudah seminggu perkara itu berlarutan. Jika bukan bunga, pasti ada coklat yang diterima.
“Ada kad la. Kau baca la..” Liya yang menggeledah bawah meja gadis itu, tersenyum sedikit. Cuba menenangkan Laila secara tidak langsung.
Dear Laila. I waited for too long to say hello to you. Nice to meet you. From D’yuz.” Laila membaca perlahan. Dahinya berkerut cuba mencari tahu siapa pemilik nama D’yuz, namun satu pun tidak muncul di dalam fikirannya. Dipandang Liya yang masih merenungnya.
“Kau kenal mengkarung ni?” Liya menggeleng perlahan. Laila memandang sekeliling, pandangan matanya jatuh pada wajah Kamil namun jejaka itu tetap selamba. Sedikit pun tidak terusik dengan pandangan amaran itu.
“Baik korang bagitau aku siapa mengkarung yang berani buat kerja bodoh ni?” Laila mengangkat sekuntum bunga ros putih yang berada di atas mejanya.  Hakimi pula memandang wajah Nas, tetapi jejaka itu hanya mengangkat bahu.
“Siapa la agaknya yang berani buat anak singa tu marah?” Emil yang berada di belakang Hakimi bersuara perlahan. Hakimi cuba menahan tawa, namun terlepas. Laila mengerling pantas. Secepat kilat juga Kamil menarik tangan Hakimi keluar dari kelas mereka. Ayie, Nas dan Emil pantas mengekori dari belakang.
“Jangan buat Lela marah, waktu dia tengah meradang. Habis kau nanti.” Kamil bersuara tegas, memberi peringatan.  Ayie tersengih.
“Apa pasal kau ketawa tadi wei?” Nas menyoal bila dilihat mereka hanya terdiam di balkoni berdekatan tangga. Tidak berani dia mahu melangkah masuk ke kelas buat sementara waktu.
“Tak adalah. Si Emil ni boleh pulak dia panggil si Lela tu anak singa. Muka dia comel macam tu panggil anak singa...” Kamil mencerlung ke arah Emil, membuatkan jejaka itu tertunduk. Kecut perut melihat renungan mata Kamil yang tampak merah itu.
“Sekali lagi aku dengar, kau yang kena dulu Emil...” Hakimi terpinga-pinga melihat Kamil berlalu meninggalkan mereka. dia melihat Nas dan Emil yang sudah berubah riak.
“Kenapa?” Soal Hakimi pantas.
“Kau ni memang tak ada insurans betullah. Kalau aku bagitahu kau, jangan kecoh pulak tau...” Nas memandang sekeliling. Matanya terpejam seketika, menarik nafas kemudian menyambung bicara.
“Kamil dengan Laila dulu couple...” Hakimi ternganga!
------------------------------------------------------------------
“KAMIL dengan Laila dulu couple.” Hakimi memejam matanya berkali-kali. Dan dia yakin sekali waktu itu, dia sudah mengorek telinganya. Namun, apa yang didengar betul-betul membuatkan dia teruja untuk tahu.
“Tapi biasalah siapa yang rela tengok anak bercinta dengan samseng sekolah, kan?” Emil pula mencelah. Ayie yang berada di sebelahnya turut mengangguk setuju.
“Ayah Laila halang mereka bercinta ke?” Hakimi menyoal. Rasa ingin tahunya semakin membuak.
“Kau kenal siapa ayah Laila?” Taha yang baru muncul bertanya. Dia duduk di anak tangga, merenung wajah Hakimi.
“Tak. Yang aku tahu cikgu Zul tu bapak sedara dia. Itu aje la yang aku tau...” Taha tergelak kecil.
“Untuk pengetahuan kau, Laila tu anak pengetua kita...” Sekali lagi Hakimi ternganga. Biar betul?
“Bila dia dapat tahu Laila bercinta dengan Kamil, terus kami berlapan kena serang dengan Cikgu Zul. Sejak tu la, kami asyik kena denda. Laila tu budak baik, dengar cakap orang tua. Bila bapak dia suruh putus, dia putus. Kalau kau tengok macam mana keadaan Kamil masa tu memang kesian la. Dah macam orang tak nak hidup pun ada aku tengok.” Ayie menyampuk. Kenangan lama mula bersimpang di mindanya.
“Macam-macam kes Kamil kena tuduh. Semuanya nak buat supaya Laila jauhkan diri daripada Kamil. Kami la yang selalu bagi semangat pada Kamil supaya terus tabah. Hakikatnya, cinta mereka terpisah hanya kerana orang tua la. Macam lagu Sheila yang Iklim nyanyi tu..” Nas pula bersuara.
“Sheila, kini terbelenggu kerna orang tua mu...” Ketawa mereka pecah bila mendengar Emil mendendangkan lagu tersebut. Hakimi tersenyum, namun di hatinya timbul rasa bersalah pada Kamil. Sungguh, dia sendiri tidak mengerti dengan perasaan itu!
Lamunan Hakimi tercantas apabila bahunya ditepuk dari belakang. Dia berpaling, dilihat Kamil sedang tersenyum memandangnya.
“Ingatkan Laila?” Soalan cepumas membuatkan Hakimi tersentak. Merah mukanya.
“Buang tabiat ke aku nak ingatkan dia?” Cepat dia menangkis, namun hanya terbit tawa kecil di bibir Kamil.
“Jangan tipu diri sendiri. Kau yang letak bunga, coklat semua tu, kan?” Sekali lagi dia tergelak apabila melihat Hakimi berkerut dahi mahu mencari jawapan balas.
“Kau masih sayangkan dia?” Hakimi menyoal perlahan. Entah kenapa, hatinya berdebar mahu mendengar jawapan dari Kamil. Tadi memang dia beria-ia mahu mendengar sendiri cerita itu dari bibir Kamil, tapi kini bila berhadapan dia sendiri kalah dengan perasaannya.
“Entah...” Kamil mengeluh, berat. Dia mengeluarkan beg dompetnya. Sekeping gambar dikeluarkan, dan diunjuk kepada Hakimi.
“Dia cinta pertama aku. Tapi kenangan antara aku dengan dia tak adalah banyak sangat. Lagipun aku dengan dia bercinta tak lama pun. Siapa yang nak anak dia rosak bila berkawan dengan samseng sekolah macam aku, macam kawan-kawan kita yang lain.”
“Tapi korang budak pandai.” Hakimi pantas mencelah.
“Pandai pun orang takkan tengok kalau perangai kita macam setan.” Kamil bersuara tegas. Gambar di tangan Hakimi diambil, dan disimpan semula ke dalam dompetnya.
“Aku takkan kacau hak kau.” Hakimi bersuara semula. Dia mula bangun, bersedia melangkah mahu pergi.
“Aku dengan dia dah jadi kenangan. Pikatlah dia, kalau kau betul-betul suka pada dia. Lagipun, aku tengok cara dia tengok kau lain. Tak sama cara pandangan dia tengok aku. dia tengok aku sebagai seorang samseng sekolah, Kimi.” Kamil mengekori dari belakang. Padang rumput yang masih basah dek embun pagi menjadi tempat lepak mereka sejak mula bersama. Di sini mereka berkongsi cerita dan di sini juga mereka menjalankan aktiviti nakal mereka.
“Aku pun samseng jugak dulu.” Hakimi berpaling, namun langkah masih diteruskan. “Aku pindah ke sini pun sebab kena buang sekolah. Bergaduh dengan cikgu, sampai tumbuk-menumbuk.” Dia mula membuka ceritanya. Biarlah kenangan itu menjadi pengajaran terbaik buat dirinya yang nakal.
“Aku yakin Laila pun sukakan kau. Dan kau dapat markah bonus lagi sebab Tuan Haji kenal ayah kau.” Kali ini Hakimi berhenti melangkah.
“Kau tahu banyak sangat tentang aku, Kamil.” Hakimi bersuara perlahan. Dia tersenyum. “Siapa kau sebenarnya?” Kamil tergelak.
“Itu tak penting, yang penting kau dah dapat apa yang kau nak. Cuma kau perlu berusaha sikit aje lagi. Kalau kau tak sukakan Laila, kenapa kau mesti datang lewat ke kelas? Padahal pemandu kau dah campak kau dekat pagar sejak pukul 7.20 pagi lagi. Kenapa kau mesti tunggu kami? Sebab nak tengok Laila denda kau, kan? Kenapa kau selalu nak buat Laila marah? Sebab kau nak dengar suara dia, kan? Kenapa kau letak coklat dan bunga dalam meja dia? Sebab kau nak perhatian dari dia, kan?” Hakimi menelan air liur, melihat Kamil yang begitu bersungguh-sungguh memberi kenyataan.
“Dan kau pulak? Dalam hati kau apa yang kau rasa?” Hakimi mula menjerit. Rahang mula timbul, menunjukkan tahap kemarahannya mula meningkat naik.
“Kau nak tahu apa yang aku rasa?” Kamil menghampiri Hakimi. Leher baju temannya ditarik rapat ke dada. “ Aku rasa marah, aku rasa menyampah, aku rasa benci bila kau buat semua tu.” Satu tumbukan di hadiahkan ke pipi Hakimi. Terjelopok lelaki itu jatuh. Belum sempat dia melakukan serangan balas, satu lagi tumbukan singgah di pipi kirinya. Perit, itulah yang dirasakan saat ini.
“Kau fikir kau siapa? Sebab kau anak polis, kau boleh amik Laila daripada aku? kau memang kawan tak guna..” Belum sempat Kamil menumbuk buat kali ketiga, satu suara mula kedengaran.
“Kamil, stop..” Keras suara gadis itu membuatkan Kamil berhenti. “Kau dah gila ke?” Dia pantas mendapatkan Hakimi yang sudah rebah menyembah bumi. Tanpa mempedulikan renungan gadis-gadis itu, dia pantas berlalu.
“Ya Allah, berdarah teruk ni. Kau ok tak?” Laila membelek muka Hakimi, namun tangannya ditepis. Hakimi bangkit dalam keadaan terhuyung-hayang, dia mula melangkah meninggalkan Laila dan Liya yang merenung penuh simpati.
------------------------------------------------------------
“APA yang kau menungkan tu? Sejak dua minggu lepas, tak habis-habis dengan hobi baru kau ni.” Liya menegur temannya yang asyik berkhayal. Laila sudah berubah, tiada lagi suaranya marah-marah, tiada lagi tengkingan. Yang ada cuma pandangan sayu setiap kali nama Hakimi disebut.
“Dah dua minggu dia tak datang..” Laila bersuara perlahan.
“Siapa? Kamil ke Hakimi?” Liya mengumpan. Namun hanya keluhan yang kedengaran.
Hi, guys...” Laila terpegun sendiri. Suara itu membuatkan dia yang sedang menekur kepala memandang lantai, pantas mendongak. Melihat dua orang lelaki yang mula melangkah masuk sambil ketawa besar membuatkan dia terpinga. Dia memandang ke belakang. Dilihat wajah kedua-duanya yang sudah dua minggu tidak hadir ke sekolah.
“Lama betul korang bercuti, ya?” Jering mula menyindir. Hakimi yang duduk di sebelahnya, direnung tidak puas hati.
“Biasalah, kami amik extra cuti sekolah. Betul tak, Kamil?” Hakimi tergelak bila Kamil mengangguk kepalanya. Dia tahu ramai yang pelik dengan hubungan antara dia dan Kamil, namun biarlah ia menjadi rahsia mereka berdua. Tidak perlulah dia bercerita lebih lanjut kepada mereka, cukuplah ia menjadi kenangan untuk zaman persekolah mereka.
“Boring gila la kitaorang bila otai-otai bercuti. Tak tahu aktiviti jahat apa yang kitaorang nak buat, tau tak..” Taha merungut. Buku latihan Perdagangan, dibelek-belek kasar. Sengaja mahu menunjukkan rasa protes.
“Itu kau kena salahkan Kamil la. Dia yang tumbuk aku kuat sangat hari tu...” Ketawa mereka lerai lagi, namun pantas menghilang bila menyedari sekujur tubuh sudah pun berdiri di hadapan Hakimi. Dia mendongak, namun langsung tidak bersuara.
“Saya nak bercakap sikit dengan awak..” Pinta Laila perlahan. penuh mengharap.
“Tapi aku taknak bercakap dengan kau sebab aku tak ada apa nak bercakap dengan kau. Faham?” Seisi kelas yang mula riuh dengan kemunculan Kamil dan Hakimi, senyap seumpama dilanda geruda. Kamil bangkit bila melihat Hakimi sudah melangkah keluar dari kelas. Laila mengetap bibir, Liya pantas menghampiri.
“Lela, mungkin Kimi...” Belum sempat Rimy memujuk keadaan Laila, gadis itu sudah berlari keluar. Ayie menepuk kepalanya perlahan. Mengekori langkah Hakimi menuju ke beranda tangga.
“Apa yang kau dah buat ni? Lela menangis tahu tak?” Rimy bersuara pantas, menyoal Hakimi yang nampak tenang sahaja berdiri memandang ke bawah.
“Woo, Lela menangis? Dasyat tu, masa putus dengan aku pun dia tak menangis tau, hati batu.” Kutuk Kamil berserta tawa kecil. Namun, sejujurnya hatinya terusik mendengar perkhabaran itu. Ternyata Hakimi telah berjaya menambat hati si Dera Lela.
“Aku tak layak untuk dia, dan aku tak nak bincang hal ni lagi. Tutup. Noktah. Muktamad.” Hakimi bangun menuju ke bilik air. Dia mengurung diri dalam tandas, seketika dia bersandar di pintu. Tanpa dipinta, dia mula mengeluh berat!
-------------------------------------------------------------------
HAKIMI termenung jauh. Peperiksaan STPM hanya tinggal dua bulan sahaja lagi. Rasanya dia sudah cukup bersedia, namun kenapa hatinya kerap benar tidak tenang. Berdebar seolah-olah ada benda yang dia cuba ingakri, tetapi apa?
“Apa yang tak kena dengan aku ni?” Hakimi merungut. Anak matanya menangkap kotak biru yang terletak di atas meja, pantas kakinya mengorak langkah mendapatkan kotak itu. Dengan lafaz Bismillah, dia membuka kotak itu. Berdebar-debar, padahal sudah berpuluh kali dia membaca coretan-coretan comel di kertas berwarna-warna kecil itu.
“Cinta itu indah, tapi saya tak boleh nak lafazkan keindahannya. Cuma saya mampu tunjukkan betapa indahnya cinta itu bila awak bersama saya.” Bibirnya bergayut satu senyuman kecil. Dia memandang nama si penghantar di hujung kertas.
“Dera Lela...” Dia membaca perlahan. Senyuman yang bergayut mula pudar, bertukar dengan sebuah keluhan kecil. Sejak peristiwa dia memalukan gadis itu, mereka tidak pernah bercakap namun hanya nota-nota cinta ini yang menjadi wakil. Jika dulu, dia yang berniat mahu mengenakan gadis itu meskipun hanya seminggu dia sempat berbuat nakal sebelum Kamil bertindak menumbuknya dulu. Ya, kerana Kamil dia cuba melupakan gadis yang berjaya membuka hatinya itu!
“Kimi, tidur ke?” Ketukan di muka pintu membuatkan Hakimi tersedar. Dia segera melangkah ke muka pintu.
“Yes, mama?” Dia menyoal malas. Matanya sengaja dikuyukan, seolah-olah mengantuk.
“Buat apa dalam bilik ni? Tidur ke?” Soal Datin Noraini pula.
“Kalau mama tak kacau Kimi, memang Kimi nak tidur sekarang.” Hakimi tersengih bila melihat mamanya membeliakkan biji mata.
“Jangan nak mengada-ngada. Ada orang datang rumah kita, nak jumpa Kimi.” Segera Datin Noraini segera bersuara. Dia menyuruh Hakimi turun seberapa segera membuatkan jejaka itu hanya terpegun. Soalannya berkenaan siapa yang mahu berjumpanya, tidak pula dijawab. Dengan perasaan malas, Hakimi mendapatkan T-shirt merah yang bergantung di katilnya.
“Haa, dah turun pun dia.” Suara Dato’ Hasyim membuatkan Hakimi mendongak. Hatinya berdebar-debar bila bertembung pandang dengan sepasang mata jernih yang menghadapnya. Tiada senyuman di bibir itu, hanya leretan bersahaja. Dia kemudian membuang pandang ke arah lelaki di tepi pemilik mata jernih itu. Sekali lagi dia berdebar bila menyedari ada sepasang lagi mata sedang memerhatikannya.
“Tuan Haji...” Hakimi melangkah, mendapatkan tangan lelaki tua itu sambil mencium penuh hormat. Dia berkalih seketika pada gadis di tepi Haji Bashir, namun pandangan mata gadis itu bukan padanya. Tangannya menghala pula ke arah lelaki di sebelah gadis itu.
“Cikgu..” Sapa Hakimi perlahan. Dengan senyuman mesra, dia dipeluk erat oleh Cikgu Zul. Terpinga seketika melihat perubahan karekter lelaki itu, namun cepat sahaja dia menangkis tanggapan buruk yang mula hinggap di kepalanya.
“Abang tentu dah kenal  Kimi ni, kan?” Suara Farthia membuatkan Hakimi berkalih memandang kakaknya yang muncul dari dapur bersama sepinggan kek. Dia mengjongketkan kening.
“Kenalkan, teman lelaki Along, Cikgu Zulkifli.” Hakimi memegang dadanya. Ternyata berita itu mengejutkan hatinya. Dia berkalih pula pada mama dan papanya. Namun, hanya anggukan yang diterima membuatkan dia tergelak kecil.
“Kimi sorang aje yang tak tahu, ya?” Dia memandang Farthia, kemudian melangkah menghampiri kakaknya. Satu pelukan diberikan. Sempat dia berbisik perlahan.
“Patutlah Kimi tak pernah kena tindakan disiplin dekat sekolah. Rupa-rupanya ada orang yang tolong selamatkan.” Farthia tersenyum. Dia memandang Cikgu Zulkifli, memberi isyarat mata bahawa rahsia mereka telah terbongkar. Selama ini, setiap kali adiknya melakukan aktiviti nakal bersama teman-temannya, Farthia selalu memujuk teman lelakinya agar adiknya tidak dikenakan tindakan disiplin. Tapi yang nyata, Hakimi sudah benar-benar berubah kelakuan, bukan lagi samseng sekolah seperti yang selalu dijaja oleh pihak sekolah sebelumnya.
“So, korang bila nak kahwin?” Soal Hakimi bersahaja. Dia sudah mengambil tempat di sisi Dato’ Hisyam. Soalannya membuatkan mereka yang berada di ruang tamu tergelak. Matanya sekilas memandang Laila. Yes, dia senyum, desis hatinya perlahan.
“Sebab itulah Tuan Haji datang hari ni, mewakili Zul ni..” Haji Bashir mula bersuara. Wajah Hakimi ditatap lama, kemudian berkalih pula pada Laila yang diam membisu sedari tadi. ketika di rumah tadi, bukan main anaknya gelisah bila diberitahu mahu ke rumah Hakimi. Sudahnya, Laila disakat teruk oleh adik bongsunya, Zulkifli.
“Ooo, kisahnya... Eloklah tu, saya pulak mewakili Along dengan rela hati menerima.” Hakimi bersuara bersahaja. Sekali lagi gelak tawa memenuhi ruang. Wajah Farthia merah padam menahan malu. Dia menjeling Hakimi memberi amaran keras agar tidak bersuara lagi, namun anak muda itu hanya tergelak.
“Laila nak amik angin dekat luar sekejap.” Tiba-tiba suara Laila kedengaran membuatkan Hakimi pantas bangun.
“Nak ke mana pulak tu?” Soal Dato’ Hasyim, pelik dengan kelakuan anaknya.
“Aaa..nak...Ki..Kimi...”Tergagap-gagap dia mahu mencari alasan. Dia mengerling Farthia dan Zulkifli sudah tersenyum penuh nakal. Laila sudah pun melangkah keluar dari rumahnya. Dan dia sendiri tidak mengerti mengapa dia tiba-tiba bangun.
“Dia nak berborak dengan Laila la kot, lagipun mereka berdua ni sekelas.” Jawapan Haji Bashir menyelamatkan keadaan. Hakimi mengangguk.
“Haaa, nak borak dengan Lela sekejap..” Dia pantas berlalu. Melangkah mendekati gadis yang manis berbaju kurung hijau muda itu. Laila berpaling apabila buaian yang didudukinya berayun tiba-tiba. Dia mengeluh kecil.
“Saya tahu awak taknak cakap dengan saya..” Suara Laila kedengaran mendatar.
“Dah lama kau tahu tentang hubungan Along aku dengan pak cik kau tu?” Hakimi menyoal. Tangannya masih lagi mengayun buaian. Laila menekan kakinya ke tanah serentak itu juga buaian berhenti. Dia turun, berdiri menghadap Hakimi yang kelihatan segak di matanya. Cepat-cepat dia menggeleng bila fikirannya mula merayau jauh.
“Tak tau?” Hakimi menyoal lagi bila melihat gelengan Laila.
“Tau apa?” Laila kaget sendiri. Hakimi tersenyum.
“Sejak bila kau suka mengelamun ni? Setahu aku, budak-budak ni bercerita kau ni kaki dera orang bukan kaki mengelamun.” Hakimi tersengih, memandang wajah Laila yang sudah kemerahan. Comelnya dia, bisik hati kecil Hakimi.
“Eh, suka hati saya la. Tau apa?” Laila bersuara kasar, menutup malu yang mula menjengah.
“Hubungan Along dengan Cikgu Zul...” Laila pantas memintas.
“Tahu, tapi tak tahu pulak Kak Thia tu kakak awak...” Laila mengambil tempat di kerusi batu milik keluarga Hakimi itu. Jejaka itu turut duduk menghadapnya. “Saya tahu pun bila Pak Su tunjuk gambar. Waktu tu memang saya terkejut bila tengok awak ada dalam gambar tu, terus saya tanya Paksu.” Laila menjelaskan hal sebenar.
“Kecilnya dunia ni, kan?” Hakimi bersuara. “Hari ni tak ada nota ke?” Laila berkerut dahi mendengar pertanyaan pelik Hakimi.
“Nota apa?” Belum pun menjawab soalan Laila, Hakimi bergegas berlari masuk ke dalam rumah. Laila hanya mengeluh, membiarkan jejaka itu berlalu. Degupan jantungnya yang berlari kencang sedari dia datang ke rumah itu lagi, langsug tidak mahu berhenti. Lama-lama, dia bimbang sakit jantung pula dia nanti jika berterusan begini.
“Nah, bukak tu..”Hakimi muncul semula bersama sebuah kotak biru. Sekali lagi dahinya berkerut. Bimbang jika lelaki itu mengenakan dia pula. Perlahan-lahan dia mencapai kotak itu apabila rasa ingin tahu lebih membunuh rasa resahnya.
“Tak ada bom la... Bukak aje..” Gesa Hakimi perlahan apabila melihat Laila masih teragak-agak untuk membuka. Saat penutup kotak terbuka, dapat dilihat Laila ternganga. Nyata gadis terkejut melihat isi di dalam kotak hatinya itu.
“Awak simpan semua nota bodoh ni?” Tanya Laila, dia pasti wajahnya sudah merah. Sebab itu dia langsung tidak mengangkat wajahnya. Dia hanya mampu merenung sahaja kertas-kertas itu. Dan sejelasnya dia mendengar Hakimi ketawa, namun dia tidak mahu ketawa itu untuk apa. Sama ada jejaka itu memperkelehkan usahanya dalam menambat hati pemuda itu atau ketawa kerana kebodohannya mendamba cinta seorang lelaki seperti Hakimi.
“Sebab nota bodoh ni jugak saya tak boleh tidur malam tau.” Dia memcapai sehelai kertas berwarna merah. Dia memandang Laila seketika sebelum membaca nota itu perlahan.
“Cinta hadir tanpa kita sedar. Kadangkala ketika gembira, kadangkala ketika sedih. Oleh itu, jangan cuba tanya saya bila cinta tu mula tumbuh sebab saya sendiri tak pasti tentang masa tu.” Laila tersenyum kecil. Ya, itulah luahan hatinya. Dia menulis nota-nota itu sebagai luahan rasa hatinya meskipun Hakimi tidak menghargainya. Kata Walid, cinta mesti diluahkan dan dia memang meluahkan cinta itu kepada Hakimi!
“Macam budak-budak, kan?” Laila bersuara, Hakimi pula terdiam. Tangannya mencapai pula kertas berwarna kuning.
“Saya lihat awak bersama kawan-kawan, tapi kenapa saya tak mampu nak menjadi salah seorang daripada mereka? Atau Si Dera Lela tidak cukup layak untuk awak?” Laila terpegun. Itu nota terakhir yang diberikan. Selepas tiga bulan melakukan aktiviti yang sama, akhirnya dia penat dan nota itulah kiriman terakhirnya.
“Nota tu...”
“Nota akhir yang selalu buat aku tak puas hati. Aku tertunggu lagi nota-nota seterusnya namun hanya sia-sia. Nota tu dah tak muncul gadis tu dah mengalah. Apa agaknya reaksi gadis tu kalau aku bagitahu dia yang aku simpan semua nota-nota cinta dia ni?” Hakimi pantas menyampuk. Dia mencari anak mata Laila yang merenungnya.
“Tapi kau jerit kau taknak cakap dengan aku?” Laila mengetap bibir, menahan mutiara jernih yang sudah bersedia mahu mengalir.
“Ok. Aku taknak bercakap, tapi aku tak ada kata aku takkan SMS kau, aku takkan baca nota kau, kan? So?” Hakimi menyoal balas, sengaja mahu membangkitkan kemarahan gadis itu. Selepas peristiwa dia memalukan gadis itu, mereka seperti orang asing. Malah teman-temannya juga tidak pernah menimbulkan soal Laila kepadanya.
“Gila. Kau ingat aku ni perempuan tak tahu malu bila kau dah tolak aku macam tu?”Laila sudah bersuara keras. Air mata di sapu pantas. Bibirnya diketap lagi, menahan marah pula kali ini.
“Aku ingatkan kau ni perempuan keras sikit sebab suka sangat dera orang tapi lemah jugak..” Rungut Hakimi, mencabar.
“Kau kata aku lemah?” Laila bangun, matanya membulat.
“Memanglah. Dulu bukan main lagi suka sangat dera aku dengan kawan-kawan aku, tapi bila dah jatuh cinta dengan aku terus kau jadi macam ni, kan?” Hakimi tersenyum nakal.
“Bila masa aku cakap aku jatuh cinta dengan kau?” Laila menafikan penyataan Hakimi. Mulutnya mula terkumat-kamit menahan malu.
“Tipulah diri sendiri. Semua budak dalam kelas tu tau la..”
“Kau tunjuk nota tu kat diaorang ke?” Soal Laila pantas.
“Hisshhh, takkan aku nak tunjuk..” Laila menggosok dadanya. Kejutan segera dinyahkan. Wajah Hakimi dipandang lagi.
“Habis tu macam mana diaorang tau?”
“Cara kau tengok aku, cara kau yang macam orang sasau, suara singa kau yang dah mula hilang.” Hakimi menggaru kepalanya, seolah-olah berfikir. “ Dan kelakuan kau yang suka termenung tu buat mereka mula tahu perasaan kau pada aku.” Hakimi tersenyum lagi, lebih nakal bila melihat sinar marah yang terbit di mata gadis itu.
“Gila...” Laila mahu melangkah, namun pantas tangannya si pegang. Terkedu dia seketika melihat Hakimi tersenyum. Matanya jatuh pada maya kuyu jejaka itu, jatuh pula pada hidung mancungnya, dan akhir sekali jatuh pada bibir jejaka itu yang tersengih nakal tadi. Secepat kilat dia cuba menarik, namun dia kalah bila tenaga Hakimi melebihi tenaganya.
“Kau nak dengar sesuatu tak?” Hakimi bersuara perlahan, cukup menggetarkan jiwa gadisnya.
“Apa?” Laila membalas dengan suara keras. Hakimi mendekatkan bibirnya ke telinga gadis itu. Cukup perlahan, dia berbisik. Laila ternganga, matanya terkelip-kelip melihat Hakimi yang bersahaja ketawa dan melangkah meninggalkannya berserta kotak hatinya tadi.
“Dia memang gila, lepas tu nak suruh aku pun jadi gila jugak la tu...” Laila terus melangkah mengekori masuk ke dalam rumah tanpa mahu lagi memikirkan bisikan Hakimi lagi. Tutup!
------------------------------------------------------------
TIGA BULAN KEMUDIAN.....
HUBUNGAN mereka berjalan lancar. Seolah-olah mereka tidak pernah bermusuh sebelum ini. Peperiksaan STPM juga tamat dengan selamat tanpa perasaan gundah. Tapi kini, resah bila melihat sekeping surat tawaran yang masih lagi di dalam sampul itu. Sejujurnya, dia belum bersedia lagi untuk berpisah dengan orang kesayangannya.
“Bagitahu ajelah. Nanti bila dia tahu daripada orang lain, lagi dia marah nanti.” Suara Kamil mengetuk gegendang telinga. Hakimi mengeluh lagi.
“Aku belum bersedia nak berpisah dengan dia, Mil.” Akhirnya diluahkan rasa hati. Wajah Kamil yang tenang dilihat tanpa berganjak.
“Alah, demi masa depan kau dan dia jugak. Apa salahnya berkorban sikit. Aku kan ada, boleh tolong tengokkan dia.” Kamil bersuara nakal. Matanya dikerdip juga, menunjukkan gaya gatal.
“Kau jangan buat hal. Karang bertumbuk macam dulu, kali ni aku memang takkan lepaskan kau la...” Hakimi memberi amaran keras. Tangannya sudah digenggam erat. Sakit hatinya mendengar gelak tawa Kamil yang rancak itu.
“Tau takut. Dulu bukan main lagi bagi warning jangan sebut pasal dia segala bagai...” Kamil ketawa lagi, kali ini lebih kuat. Nas, Adi, Emil dan Ayie yang sedang bermain bola sepak turut berpaling ke arah mereka.
“Itu dulu. Aku fikirkan kau, cinta pertama kau.” Hakimi menjawab perlahan, namun Kamil hanya tersenyum.
“Cinta pertama tak semestinya dimiliki, kan?” Kamil bangun, mahu mendapatkan teman lain yang bermain bola sepak. “Bagitahu dia, seelok-eloknya secepat mungkin.” Hakimi mengeluh. Bayangan Kamil menghilang di sebalik pita fikiran. Dia mencapai sampul surat, dikeluarkan surat tawaran itu perlahan-lahan. Selfonnya dicapai, lantas dia menaip mesej kepada gadis kesayangannya.
Salam. Awak dah tido ke?
Tidak sampai satu minit, mesejnya dijawab. Hakimi tersenyum.
Belum lagi. Nape, wak?
Dari berdiri dia merebahkan badannya ke atas katil, membalas mesej Laila. Keluhan dilepaskan. Mindanya merangka ayat seterusnya.
#Dah makan? Sihat hari ni?
*Sudah,cuma sakit sikit.
#La, dah makan ubat ke belum?
*Emmm, tak ada ubatnya.
#Cakap sakit apa, saya pergi farmasi beli ubat. Nanti saya hantar rumah awak, ok?
*Waaa, caringnya... Saya cuma gurau la, wak. Saya sihat cuma sakit rindu aje...HahaJ
#Laila, tolong jangan main-main macam tu lagi. ;(
*Janganlah serius sangat.. Sorry, kenapa ni? ada masalah ke?
#Tolong jangan buat saya risau. Saya bimbangkan awak...
*Ada masalah apa ni? jangan rahsiakan daripada saya boleh tak?
#Awak, saya dapat surat tawaran...
*Oh ya, ke mana?
#Kota megah, London.
Hakimi merenung selfonnya. Lama dia menanti, namun mesejnya belum berbalas. Hatinya mula gundah. Bagaimana agaknya penerimaan Laila? Detik ke 10 minit, penantiannya berakhir. Melihat sahaja nama Laila muncul memberitahu mesej yang diterima dari gadis itu sepantas kilat dia membuka dan membacanya laju.
*Wow, great. Mesti best dapat belajar dekat sana. So, bila
bertolak?
Hakimi merenung tarikh yang terpapar di surat tawaran, melajakkan pula matanya kepada tiket kapal terbang sudah pun ditempah oleh papanya. Sorry sayang, desis hati kecilnya.
#30/10, jangan datang cari saya tau...
*HAHA, ok...Saya tak datang... Awak, saya dah nak tidur. Night...!!!
#Ok, good night. Love u, sayang... Dreaming of me, ok!!!
Hakimi merenung lagi selfonnya yang sudah senyap. Hatinya resah tidak menentu. Dia kenal dengan Laila, pasti gadis itu sedang menyorok perasaan sebenarnya. Dia mengeluh berat. Tiket penerbangan yang bertarikh 29/10/2007, direnung berkali-kali. Sengaja dia memberitahu gadis itu tarikh yang salah, agar gadis itu tidak bertemunya. Kerna dia pasti, hatinya akan lebih berat jika dia melihat gadis itu!
----------------------------------------------------------
29/10/2007
Yakin taknak jumpa dia buat kali terakhir?” Soal Kamil perlahan. dia mengerling ke arah Hakimi yang bersahaja.
“Hati aku akan lagi sedih kalau aku tengok dia nanti..” Dia menjengah ke belakang. Papa dan mama yang sedang berborak dengan Emil dan Nas, kerap bertanya mengapa Laila tidak datang. Dan dia hanya menjawab, Laila kurang sihat. Seterusnya, dia lebih senang berdiam diri dari terus  membuat dosa!
“Dia akan benci kau seumur hidup kalau kau masih lagi buat perangai macam ni.” Ugut Kamil lagi. Ayie yang datang bersalaman dengannya, memaut tubuh Hakimi ke dalam dakapan.
“Kirim salam dekat cewek-cewek London, nanti.” Ayie berjenaka, membuatkan mereka semua ketawa. Pengumuman yang dibuat untuk penerbangan ke Kota London, mematikan senyuman Hakimi. Dia berpaling ke arah Kamil.
“Aku amanahkan kau jaga dia selama aku tak ada.” Dia bersalam dengan Kamil, lantas berpelukan. Amanat yang disampaikan membuatkan Kamil tersengih nakal.
“Kalau terjadi apa-apa antara aku dengan dia dalam masa tiga tahun ni, kira halal la ek.” Kamil mengenyitkan matanya, nakal. Hakimi menjegilkan mata, besar.
“Kimi, jom...” Datin Noraini memanggil anak bujangnya. Suaminya yang sedang bersalaman dengan teman-teman anaknya itu, sudah tersenyum mahu melangkah pergi. Hakimi melepaskan nafas yang terasa sesak di kerongkong buat kesekian kalinya. Dia berpaling ke belakang, seraya memejamkan mata. Membayangkan Laila berlari mendapatkan dia sebelum dia pergi jauh. Tepukan di bahu mengejutkan Hakimi, pantas dia berkalih.
“Time to go...” Adi bersuara perlahan. Dato’ Hasyim dan Datin Noraini sudah pun melangkah menghampiri balai berlepas. Hakimi tersenyum hambar. Dia memeluk kesemua temannya, seraya mengucapkan selamat tinggal.
Telefon bimbitnya berbunyi, nada khusus buat gadis yang istimewa dalam hidupnya. Hakimi menghentikan langkah, berpusing ke belakang. Teman-temannya sudah melangkah mahu meninggalkan KLIA.
“He..helo....” Tergagap dia memulakan perbualan.
“Puas hati dapat tipu saya?” Laila mengasak bersama esak tangis. Berderau darah Hakimi.
Sayang, please. Jangan menangis...” Rayu Hakimi bersungguh.
“Habis tu awak yang buat saya menangis. Tinggalkan saya macam ni boleh buat awak tenang ke?” Nada amarah gadis itu membuatkan Hakimi mengeluh. Ya, dia memang bersalah.
“Saya taknak awak sedih...” Dia cuba membela diri.
“Awak selalu fikir pasal saya, hingga lupa dengan diri awak, kan? Tunggu saya kat situ..” Laila memberi arahan.
“Laila, saya dah nak pergi. Kapal terbang saya dah berlepas ni.” Hakimi terbajet. Hati dan bicaranya berentak tidak seiring.   
“Saya tak kira, yang saya tahu bila saya sampai sana awak mesti ada. Faham.” Serentak itu juga talian diputuskan. Hakimi mengeluh berat. Namun dia tetap meneruskan langkah menghampiri balai berlepas. Dia tidak mahu membuat hal pada ketika dan saat ini. Kegilaan si Dera Lela yang suka memberi arahan mesti ditamatkan!
--------------------------------------------------------------
LAILA tersenyum kecil, namun hatinya pedih. Ya, itulah yang dirasakan kini. Pedih, sedih, kecewa! Tiga perasaan yang dia sendiri tidak mampu luahkan kepada sesiapa. Dia memegang begnya kejap. Jam dikerling, lewat 30 minit! Liya yang masih berdiri di hadapannya, dipandang lama.
Setitis air matanya jatuh. Setitis lagi. Kemudian setitis lagi dan seterusnya menjadi tangisan sendu. Liya menghampiri, lantas tubuh Laila diraih ke dalam pelukan supaya gadis itu dapat bertenang. Dia takut! Takut dia turut menangis bersama temannya itu.
“Dia dah tinggalkan aku, Liya. Dia dah pergi..” Laila mengongoi perlahan, namun cukup membuatkan hati Liya tersentuh. Bibirnya diketap, dia tidak mahu bersuara kerana bimbang empangan yang ditahan akan pecah jua akhirnya.
“Siti Laila Adriana bt Haji Bashir.” Namanya diseru perlahan. Dia kenal dengan suara itu. Sumpah. Meskipun perlahan, namun berjaya menyingkirkan tangisan panjangnya. Dia berkalih ke belakang, dilihat jejaka itu tersenyum mesra. Dia meneliti jejaka itu dari atas hingga ke kaki. Mata kuyunya masih sama, ditambah dengan cermin mata jernih. Cukup comel! Berkalih pula pada hidung mancungnya, tetap menawan. Apatah lagi bila terpandang dua ulas bibir merah itu yang kerap kali menjadi igauan malamnya. Ahh, dia tentu sudah semakin gila!
“Belum bertolak lagi?” Dia menghampiri jejaka itu. Menggigil lututnya bila melihat kesegakan Hakimi, boleh buat dia sasau tujuh hari, tujuh malam.
“Macam mana nak pergi kalau wajah Laila belum saya tengok untuk kali terakhir?” Hakimi sayu sendiri. Dia merenung wajah bujur sirih di hadapannya, jika difikirkan dia tidak kuat iman sudah lama gadis itu dipeluknya. Sudahnya, dia yang akan rindu sendiri di perantau nanti.
“Saya ingat saya dah terlambat.” Laila bersuara perlahan.
“Penerbangan tertunda. Saya ada masa 5 minit aje lagi untuk buat pengakuan. Tanpa ada bantahan atau halangan. Faham?” Laila mengangguk, dia bersedia mendengar pengakuan jejaka itu tidak kira positif atau negatif, dia redha. Selepas kecundang cintanya dengan Kamil, dia belajar bahawa cinta tidak semestinya memiliki, tapi tidak bererti juga akan diakhiri tanpa usaha.
“Siti Laila Adriana bt Haji Bashir, saya Mohd Hakimi Idrus a.k.a Kimi D’Yus ingin membuat kenyataan bahawa saya sangat menyayangi dan menyintai awak dengan sepenuh hati. Maaf sebab buat asyik terkejar-kejar, saja nak jual mahal pada seorang pendera cinta macam awak. Kali pertama melihat awak, sudah cukup buat hidup saya tak tentu arah. Saya sengaja biarkan diri didenda supaya sentiasa dekat dengan awak, tapi bila tahu Kamil masih sukakan awak buat saya terfikir mungkin awak bukan untuk saya. Tapi bila awak buat pengakuan yang awak pun suka dekat saya, saya  mula tak tenang. Saya tak mahu kehilangan awak tapi saya juga tak sanggup hilang kawan..”
“Jadi awak...” Jarinya diletak ke bibir gadis itu.
“Shhh... Biar saya habiskan.” Hakimi tersenyum. “Saya tinggalkan awak agar awak jejaki kembali cinta awak pada Kamil. Kerana itu yang sebaiknya. Tapi saya silap, cinta awak pada Kamil cuma cinta monyet, sedangkan cinta awak pada saya terlalu besar dan suci maknanya. Saya mula sedar saya tak boleh hidup tanpa awak, tapi saya kena berkorban untuk tiga tahun ni. izinkan saya pergi, ya?”
Tanpa sedar, air mata Laila tumpah lagi. Tiga tahun bukan satu jangka masa yang sekejap, cukup lama baginya. Dan yang pasti macam-macam boleh berlaku dalam masa tiga tahun ini!
“Janji dengan saya, awak akan jaga cinta saya di sana?” Laila menaikkan jari anaknya. Sejujurnya, dia sendiri tidak berkeyakinan  untuk menunggu, namun dia harus mencuba. Andai Hakimi itu benar jodohnya, jadi mengapa dia harus mengalah sebelum masanya?
“Insya-Allah sayangku, si dera Lela. Cinta si Dera Lela akan saya jaga dengan sebaiknya.” Jarinya dikait. Hatinya sedikit lega selepas membuat pengakuan, sekurang-kurangnya dia berlepas ke perantauan ikatan sebuah cinta meskipun bukan secara rasmi.
Pengumuman kapal terbang untuk berlepas ke Kota London, membuatkan Hakimi mengeluh berat. Jiwanya terasa sarat semula, sarat dengan kerinduan yang tidak akan pernah pudar untuk gadis di hadapannya kini. Tangan kanannya pantas meraba poket, mengeluarkan sebentuk cincin belah rotan.
“Sorry la cincin murah. Nanti lepas tiga tahun, Insya-Allah saya akan sarungkan cincin yang mahal untuk awak, ya? Waktu tu dah tak boleh nak fikirkan lelaki lain, Kamil pun tak boleh tau.” Laila tergelak, manja. Cincin itu disarung ke jari manisnya, diusap perlahan.
“Saya cuma nak awak. Balik dengan selamat, pinang saya. Awak lambat, walau cuma satu hari saya cari Kamil balik nanti. “ Giliran Hakimi pula tergelak mendengar ugutan yang keluar dari bibir Laila. Dia menyandang begnya, tangannya diangkat tinggi ke arah Liya dan dibalas sama. Dia merenung sekali lagi wajah Laila, tersenyum penuh makna.
“Saya pergi dulu. Sampaikan salam pada pengetua. Katakan pada dia, menantu dia nak pergi berkelana sebelum pinang anak dara dia yang manis ni.” Bisik Hakimi, nakal. Laila mengangguk. Dia hanya melambai lemah apabila melihat tubuh Hakimi yang makin menjauh dan hilang di sebalik pintu imegresan. Tepukan di bahunya membuatkan Laila tersedar. Suara riuh di belakangnya, membuatkan dia berpaling pantas.
“Jom, balik.” Nas bersuara. Laila mengangkat kening.
“Bila korang ada dekat sini?” Laila bertanya pantas.
“Kau ingat Kimi nak lepaskan dua anak dara ni balik sendiri? No way..” Kamil tertawa perlahan. Bahu Liya dikuis perlahan, namun ditepis kasar. Laila yang melihat, tertawa senang. Sekali lagi dia memandang pintu imegresan, tersenyum bahagia. Ya, cuma tiga tahun dia perlu menunggu!

----------------------------------------------------------------------------
3 Tahun 10 hari kemudian....
Hatiku, hatimu menjadi satu cinta,
Ku rasa hadirmu menyempurnakan aku,
Tapi cinta bukan milik kita,
Semua harus berakhir....

Cinta kau dan aku,
Takkan mungkin bersatu,
Untuk saat ini,
Di dunia ini...

Mungkin kita bersama,
Nanti di atas sana,
Biar ku setia,
Menjaga cintamu selamanya....

AIR matanya merembas lagi buat ke sekian kali. Masuk kali ini sudah berpuluh kali lagu itu diputar namun dia tidak jemu. Mungkin kerna lagu dia begitu sama dengan kisah cintanya. Tisu yang berada di atas meja, di capai dan air matanya di sapu.
Ketukan di pintu membuatkan Laila pantas menekan butang stop di pemain window media player di skrin komputernya. Dia pantas bersuara membenarkan gerangan itu masuk ke biliknya.
“Kau menangis lagi ke?” Liya menghampiri Laila yang masuh lagi merenungnya malas.
“Ini takdir hidup aku, Liya. Apa yang kita idamkan tak semestinya menjadi kenyataan, kan?” Dia bersuara perlahan. Rasa sebak menghimpit dada, apabila slide yang muncul di skrin komputernya menayangkan gambarnya bersama Hakimi sedang tersenyum mesra.
“Laila, kau kena teruskan hidup. Takkan selamanya kau nak bersedih macam ni?” Liya pantas menekan menutup komputer milik temannya. Dia menarik tangan Laila, memaksa keluar dari bilik.
“Nak ke mana?” Soal Laila, malas.
“Ke mana? Kau nak berkurung dalam bilik aje ke? Helo, pengantin baru, Kamil dah tunggu kau dekat bawah, ye.” Liya memberitahu. Laila mengeluh malas bila mendengar nama itu disebut, hatinya sebak semula.
“Aku tak nak turun la..” Laila menarik tangannya, namun tidak berjaya.
“Tengok tu, dah kahwin pun asyik nak merajuk aje.” Kamil tersenyum melihat kelibat Laila yang turun bersama Liya. Adi, Ayie, Nas dan Emil tergelak bila melihat wajah mencuka Laila apabila diusik begitu.
“Susah jugak tau, aku nak pujuk dia supaya terima je lamaran tu. Sampai kena berdiri luar pagar berjam-jam semata-mata nak tunggu dia cakap, ya. bila dah kahwin, dia buat perangai macam ni pulak.” Kamil merungut. Pipi Laila diciut, manja. Liya yang berada di sebelah temannya itu, tergelak bila melihat Laila begitu bersungguh menepis tangan kasar Kamil mengusiknya.
“Abang...” Laila menjerit nyaring. Semua yang ada di situ tergelak-gelak bila melihat wajah Laila yang mula merah, mahu menangis.
“Hei, korang ni. Janganlah diusik  lagi bini aku tu..” Tersentak mereka apabila ditegur satu suara dari muka pintu. Hakimi tersenyum bila melihat Laila berlari kecil menghampirinya. Tangan gadis itu dicapai dan digenggam erat.
“Manja sangat, dulu bukan main garang lagi..”Rungut Rimy melihat kemesraan Hakimi dan Laila.
“Itulah yang aku pelik. Dasyat betul penangan si Kimi ni. Datang aje dia ke sekolah kita, boleh buat anak singa jadi anak kucing. Parsi pulak tu.” Emil bersuara pula. Kali ini gamat ketawa mereka yang berada di ruang tamu. Nasib baik Tuan Haji Bashir a.k.a bapa mertuanya bersama papa dan mamanya sudah keluar sejak pagi tadi.
“Tapi sebab korang, aku dapat kahwin dengan Laila. sudahnya, tak pasal-pasal melepas pada si Kamil ni, ha...” Bahu Kamil ditepuk perlahan-lahan. Teringat kembali peristiwa 10 hari yang lepas. Begitu kuat Laila merajuk tidak mahu menerima lamaran peminangan hanya kerana dia lambat satu jam dari masa yang dijanjikan. Sudahnya Kamil jugalah yang menjadi posmen antara mereka. begitu bersusah payah jejaka itu memujuk Laila, malah sanggup menunggu di depan rumah Laila berjam lamanya semata-mata mahu mendengar jawapan ‘ya’ daripada Laila.
“Kisahnya....” Ketawa mereka bergabung. Laila hanya tersengih, Liya pula tersenyum manis. Pandangannya mencari mata Kamil, dan yang nyata mata itu juga turut menghala ke arahnya. Tanpa sedar dia tersenyum,manis. Ya, memberi sebuah pengharapan yang jelas kepada jejaka itu!
---------------------------------------------------------------------

Selasa-9/2/2012
2.34 pagi...

Hai blog, rindu rasanya kerana sudah lama tak mencoretkan cerita di sini. Emm, sudah 10 bulan aku bergelar isteri kepada Mohd Hakimi Idrus bin Dato’ Hasyim. Rasa macam tak percaya pulak, yalah tiga tahun aku menunggu bukan satu masa yang sekejap, cukup lama cukup perit.
Banyak kisah manis, sedih, pahit yang berlaku dalam kehidupan aku, oppsss kehidupan kami. Siapa sangka sang gangster yang suatu ketika dahulu sudah berubah menjadi jurutera hebat! Siapa lagi, itulah suami aku!
HAHA....
Masih aku ingat pertama kali bertemu dengan Abang Kimi dulu, mata kuyu itulah yang selalu membuat aku terpukau. Namun, tidak pernah aku ceritakan kepadanya kerana itu rahsia yang akan aku simpan buat selamanya.
Terima kasih kepada Kamil kerana pernah hadir dalam hidup aku suatu ketika dahulu walaupun sekejap. Cinta aku dan dirimu hanya cinta monyet, sedangkan bila aku bersua dengan Abang Kimi itulah cinta suci yang selalu aku impikan. Dan terima kasih juga kepada kau yang sanggup berkorban demi kawan. Masih aku ingat sejak kalian bertengkar suatu ketika dahulu, 2 minggu kalian hilang tanpa khabar berita. Dan nyata selepas 2 minggu kalian menjadi BFF yang terbaik pernah aku lihat, malah melebihi juga hubungan aku dan Liya!
Oh ya, cerita pula tentang Liya membuatkan aku tersenyum panjang. Mana tidaknya, aku tidak pernah tahu selama tiga tahun aku menunggu Abang Kimi yang berada di perantauan, rupa-rupanya kamu berdua menganyam kasih dalam diam. Pandangan mata Liya yang selalu bercahaya bila memandang Kamil membuatkan aku tergelak. Agaknya begitulah juga bercahayanya mataku bila menatap wajah kekasih  hatiku ini.
Nas, Emil dan Adi sudah membuka cyber cafe milik mereka sendiri. Ayie pula segak dengan uniform polisnya. Tidak aku lupakan begitu teruja sekali dia bila menerima surat tawaran dari PDRM suatu ketika dahulu. Tak ubah gayanya seperti monyet, melompat terkinja-kinja hingga aku begitu menyampah sekali. Tapi semua tu dulu, kini aku berbangga! Taha pula sudah menjadi Pegawai Pemasaran di syarikat terkemuka di Pulau Pinang dan Jering pula tidak kurangnya apabila telah dinaikkan pangkat sebagai Eksekutif Kewangan 3 bulan lepas di Maha Holdings Kuala Lumpur.
Oh ya, aku terlupa tentang seorang lagi teman karib suamiku yang agak pendiam. Bukan agak tapi memang pendiam antara mereka sembilan orang. RIMY. Mohd Rahimy Adha. Serius, tidak aku sangka langsung bahawa jejaka pendiam itu bakal bergelar doktor pakar tulang dalam masa tiga tahun lagi. Emmm, Rimy masih lagi dalam pengajian kedoktoran di India.

“Sayang, belum tidur lagi?” Jari-jemari Laila yang ligat menari di papan kekunci berhenti. Dia berpaling seraya tersenyum manis memandang wajah suaminya.
“Laila kacau abang ke?” Dia bangun menghampiri suaminya yang masih lagi menguap. Jari suaminya dicapai dan dicium perlahan. Siapa sangka dalam usahanya terkejar-kejar menunggu lelaki itu, kini ikatan perkahwinan yang termaterai antara mereka.
“Tak adalah. Tadi abang nak peluk sayang tiba-tiba katil kosong pulak.” Hakimi tersenyum. Dia cuba menarik Laila untuk dipeluk, namun tangannya ditepis lembut.
“Tunggu sekejap, nak sambung tulis blog lagi sikit.” Hakimi menggeleng perlahan apabila melihat Laila sudah bangun menuju ke meja komputernya. Dia hanya merenung dalam kesamaran cahaya. Langsung tidak mahu mengganggu isterinya.
Ok, my hubby dah bangun la pulak. Tak boleh nak sambung panjang-panjang dah. Walid bagitahu isteri kena dengar cakap suami tau...Hahaha...
Lupa pulak cerita pasal Pak Su dan Kak Thia (merangkap Along aku jugak), sekarang dah mempunyai dua orang cahaya mata. Macam tak percaya aje mak sedara boleh jadi kakak ipar aku jugak. Haha, suka sangat bila tengok anak-anak buah aku membesar tu, rasa tak sabar mungkin sebab tu la melekat dekat aku kot... haaa, mesti tengah berfikir kan???
BTW, nak bagi jugak lagi sebulan aku bakal menjadi seorang ibu. Tak sabar rasanya nak menunggu detik itu. Berdebar tak sudah abang Hakimi setiap kali aku mengeluh penat. Itu baru aku mengadu penat, kalau aku mengadu sakit nak melahirkan nanti, entah macam mana perangai dia, ya?
Panjang sangat aku mengarut pagi ni, semoga segala pekerjaan kita lakukan sepanjang di dunia akan mendapat keredhoan dari Allah S.W.T. Amin...
Ok lah....nak stop da...Wahai blogger sekalian, doakan aku semoga aku selamat melahirkan bakal pewaris aku nanti. Doakan juga kebahagian aku bersama suami serta teman-teman yang sentiasa ada waktu kami senang atau susah.

Salam ukhuwwah,
Siti Laila Adriana bt Haji Bashir a.k.a
Si Dera Lela

p/s: Mohd Hakimi Idrus a.k.a Abang Kimi D’Yuz, Dera Lela sayang abang ketat-ketat. Agak-agak abang anak kita nanti nama apa ye??

TAMAT......!!!!!!!







3 comments:

Siapa Teman Saya??